Episod 4
by kilatsenyapZig mengatur nafas sambil menajamkan pandangan terhadap gerak-geri lawan. Pertarungan dengan majo memang sukar dijangka, namun dia bertarung jauh lebih baik daripada yang dibayangkan. Faktor besarnya ialah pihak lawan lemah dalam pertarungan jarak dekat. Dengan serangan jarak jauh sekuat itu, tidak pelik jika pengalaman jarak dekatnya kurang. Selain itu, kuasa majo terlalu kuat—ibarat manusia yang bersusah payah memicit serangga halus. Jika ramai melawan seorang mungkin lain cerita, tetapi untuk pertarungan satu lawan satu, dia tidak sesuai. Di samping itu, ada satu lagi kelebihan yang memihak kepadanya.
“Oh.”
Sebaik terhidu bau menyengat, dia memusingkan badan dan menjauhkan diri. Dia tidak tahu apa logiknya, tetapi sebelum mantera diaktifkan, pasti ada bau yang tersendiri. Jika jenis serangan, baunya menyengat; jika jenis pertahanan, baunya seperti besi. Apabila difikirkan, sebelum serangan pertama pun dia sempat terhidu bau ini.
Ketika itu, baunya lebih kuat. Nampaknya kekuatan bau turut berubah mengikut skala mantera dan seumpamanya.
Barangkali majo tidak menyedari hal ini. Setiap kali dia mengesannya lalu mengelak, majo kelihatan hairan. Sebabnya tidak diketahui, tetapi itu amat menguntungkan. Perlindungan tubuhnya hanyalah perisai dada, pelindung kaki tebal, dan pelindung lengan. Setakat serangan pedang mungkin boleh dipatahkan, tetapi kalau terkena mantera majo, pasti dia tidak akan mampu menahan. Nasib baik serangannya juga tampak mengancam bagi majo. Walaupun mustahil untuk menetak perisai itu sehingga tumbang, jika dia dapat menyelinap dan mencuri satu libasan, peluang untuk menang masih ada.
Dia meneguhkan diri supaya tidak melepaskan walau sedikit ruang. Majo bergerak. Serangan atau pertahanan? Pada detik berikutnya, bau menyengat yang membuatnya berkerut melanda Zig yang sedang bersiap. Itu serangan—dan yang ini paling kuat setakat ini. Dia menjauhkan diri, seolah-olah mahu menghalau rasa seram yang menyelinap di tulang belakang. Sejurus selepas itu, pancang tanah menyembul keluar. Bukan satu atau dua. Pancang terus menyembul seakan-akan ditabur secara rawak. Ia menyapu semuanya tanpa pilih bulu, termasuk patung-patung tanah dan askar-askar tetap yang sedang bertempur. Kalau terkena tepat, tamat. Walaupun tidak tepat mengenai, jika hilang imbangan, hasilnya serupa. Zig mengelak sehabis daya.
Setiap kali ada pancang menggesel tubuhnya, calar terukir, tetapi dia tidak punya masa untuk menghiraukannya. Pancang yang terus dihasilkan itu tidak berhenti walaupun kelibat sasarannya sudah tidak kelihatan.
Akhirnya, barulah reda apabila pancang memenuhi seluruh medan pandangan. Dengan nafas termengah-mengah, majo meninjau sekeliling. Patung-patung tanah runtuh hingga hilang rupa asal.
Darah yang melimpah daripada askar-askar yang tak terbilang—ditombak oleh pancang—bercampur dengan tanah menjadi lumpur kotor. Tidak ada satu pun yang bergerak. Majo yakin ancaman luar sudah disingkirkan lalu menghela nafas lega.
Entah bila kali terakhir dia merasai ancaman maut sebegini. Saat dia berpaling dan mula melangkah untuk merehatkan tubuh yang letih akibat penggunaan sihir berturut-turut, dentuman kuat bergema.
Apabila majo menoleh, dia melihat sesuatu melonjak keluar sambil menerobos dinding pancang. Zig muncul, membelah debu tanah. Mata majo terbeliak kerana terkejut. Walaupun sekujur tubuhnya penuh luka dan pelindungnya lunyai, semangat tempurnya tidak surut sedikit pun.
“Oooooo!!”
Dengan laungan yang memecah sunyi, dia menghayun pedang bermata dua. Majo serta-merta menjana perisai untuk bertahan, tetapi mungkin kerana paksaan tadi, gerakannya menjadi lembap. Dua keping perisai yang sedang dijana dipenggal serta-merta; tinggal sekeping yang entah bagaimana sempat menahan. Namun momentum itu tidak terbendung, lalu perisai bersama tuannya terpelanting. Majo berguling di tanah, dan perisai yang hilang kawalan kembali menjadi gumpalan tanah. Saat majo susah payah bangkit, mata pedang sudah teracung ke wajahnya.
Pandangan majo tertumpu pada Zig yang termengah-mengah.
“…Tak sangka, anda mampu mengelak serangan itu sepenuhnya.”
Suara majo yang didengari buat pertama kali ternyata jauh berbeza daripada sangkaannya. Tenang bunyinya, seperti suara seorang gadis biasa.
Namun, dia tetap seorang majo.
“Apakah anda akan membunuh saya?”
Zig tidak menjawab persoalan itu, lalu menyusur rapat bilah pedangnya ke tengkuk majo.
“Kenapa kau membunuh manusia?”
Majo lantas tertawa.
“Satu soalan yang sia-sia. Apakah sebab diperlukan kalau nak bunuh manusia?”
“Jawab persoalan aku.”
Bilah yang telah dihunus ke tengkuk lalu ditekan lebih rapat.
“Saya membunuh sebab saya cuba dibunuh oleh seseorang. Itu sahaja. Samada seseorang itu hidup atau mati adalah tidak berkenaan dengan saya. Adakah awak boleh terima jawapan sebegini?”
“Ya.”
Majo mengangkat bahu.
“Awak boleh kasihani saya, bukan? Saya rasa, saya lah mangsa dalam situasi ni.”
“Ramai yang dah saya bunuh.” Tambah majo lagi.
“Aku ni askar upahan. Aku tak heran kalau kau ni pembunuh yang mengikut hawa nafsu mahupun seorang paderi yang baik hati. Kalau aku dah setuju dan menerima suatu tugasan, aku akan teruskan membunuh.”
Perasaan yang kecewa jelas tertampak di wajahnya selepas mendengar jawapan Zig.
“Hmm. Memang betul-betul soalan yang tidak bermakna.”
“Tak semestinya.”
“Benarkah? Baiklah, lupakan sahaja. Silakan, teruskan.”
Majo memejamkan mata dan menyorongkan lehernya. Memang mudah benar dia pasrah.
Zig memandang leher itu dengan tenang.
Entah berapa banyak nyawa yang telah dia rampas selama ini. Dia tidak punya hak untuk menyalahkan hal itu. Dirinya sendiri pun sudah meragut banyak nyawa. Demi meneruskan hidup, dia telah memijak banyak nyawa dan menjadikannya bekalan untuk terus hidup. Dia dan gadis itu tiada bezanya.
Hanya untuk terus hidup. Kerana itulah dia telah membunuh.
―――Kerana itulah.
Zig menyarungkan pedang bermata dua dan berpaling lalu melangkah pergi.
“…apa yang anda buat?”
Memandangkan pengakhiran tidak juga tiba, majo membuka mata. Zig duduk di atas pancang yang patah berhampiran dan mula merawat lukanya.
“Tak nampak ke? Ini rawatan kecemasan.”
“Tidak, yang itu saya faham. Em, saya perlu tunggu sampai habis ke…?”
“Ada apa-apa urusan? Tak kisah, cakap saja… eh, kebetulan, tolong sini.”
“Eh…?”
Majo, walaupun keliru, tetap membantu dengan patuh. Apabila dia menghampiri Zig yang sedang membersihkan kotoran pada luka dan hendak membalut dengan kain pembalut, dia menyentuhnya dan menyusun mantera. Selepas terhidu sedikit bau manis, cahaya samar terbit. Luka yang disinari cahaya itu perlahan-lahan tertutup.
“Memang berguna betul.”
“Terima kasih. …jadi, boleh beritahu sekurang-kurangnya sebabnya? Kenapa tidak membunuh? Takkan kerana tergerak hati pula, kan.”
“Tengok itu.”
Dia memandang ke arah yang ditunjuk Zig. Di hujung deretan pancang yang berdiri seperti gunung duri, kelihatan sisa zirah mewah. Pemiliknya hancur hingga tidak dapat dikenal pasti, tetapi daripada zirah yang lebih mementingkan rupa berbanding kegunaan, kemungkinan dia daripada golongan berkedudukan tinggi.
“Apa itu?”
“Klien aku. Anak kepada tuan wilayah.”
“Itu… takziah, lah kot? Cuma, yang melakukannya saya.”
Majo menyengetkan kepala, tidak menangkap maksudnya.
“Kalau klien mati, bayaran takkan dilunaskan. Aku tak buat kerja percuma.”
“Tidak, tak sepatutnya begitu! Kalau bawa balik kepala majo, bukankah tuan wilayah akan bayar juga?”
Zig menghela nafas panjang, jelas hampa. Memang patutlah, majo nampaknya kurang arif tentang ikatan dan perebutan dalaman manusia.
“Cuba bayangkan. Dia mengutuskan anak kesayangannya bersama askar untuk membasmi majo. Tapi yang pulang cuma seorang askar upahan entah dari mana. Dia pula berkata, ‘anak tuan dan sejumlah besar askar semuanya mati’. Tiada saksi, dan satu-satunya ‘bukti’ cuma kepala majo yang belum pernah sesiapa pun lihat. Aku terselamat dan menewaskan majo, jadi ‘bayaran sila beri’. Apa agaknya jadi?”
“Kalau bernasib baik, hukuman gantung. Kalau malang, diseksa dahulu, diarak keliling kota, kemudian dipancung dan digantung di pintu gerbang, barangkali.”
“Begitulah.”
Dia membunuh melalui pekerjaannya demi hidup. Jika tiada kemungkinan bayaran dilunaskan, itu bukan kerja. Kalau dia membunuh majo di sini, itu cuma kepuasan diri.
Jadi, dia tidak membunuh.
“…begitu, ya.”
Mendengar kata-kata Zig, majo menunduk, seakan-akan memikirkan sesuatu.
Tanpa menyedari hal itu, Zig menamatkan rawatan dan memeriksa kelengkapannya. Dia menilai peralatan yang lunyai, kosnya, serta kerja sia-sia kali ini. Bila dihitung semua keluar masuknya, rasa-rasanya mahu menangis.
Sebagai tambahan, buat seketika dia perlu mengelak kerja di kawasan ini. Kemungkinan tiada siapa mengingat wajah seorang askar upahan, tetapi manalah tahu.
“Adakah itu memadai bagi anda?”
Saat Zig selesai bersiap dan sedang buntu memikirkan langkah seterusnya, majo yang selesai menimbang fikir bertanya.
“Tiada soal baik atau buruk. Jika ada tugasan, apa saja aku buat dan aku tidak akan berkhianat, tetapi aku juga tiada kewajipan untuk membuat laporan yang seolah-olah menghantar diri untuk dibunuh. Pasukan telah musnah, pembasmian majo gagal.”
“Tidak, pembasmian majo berjaya. Dengan pengorbanan para askar yang berani, majo telah ditumbangkan, dan dia tidak akan muncul lagi.”
Maka tamatlah dengan baik. Majo meneruskan, seolah-olah bercerita dongeng.
“…apa maksudnya?”
majo menatap Zig yang kebingungan dengan mata birunya.
“Saya mahu mengupah anda sebagai pengawal saya.”
0 Comments