Episod 1
by kilatsenyap“Ramai betul yang dah dikumpulkan.”
Di kem perkhemahan, para askar upahan, askar peribadi milik tuan wilayah, malah pasukan militia pun penuh berkumpul. Melihat kumpulan yang boleh dipanggil campur-aduk itu, dia mengeluh separuh terkejut lalu berbisik.
Mendengar gumaman yang terlepas tanpa sengaja itu, lelaki yang sedang menyelenggara pedangnya di berdekatan ketawa. “Yalah, memanglah. Buat persiapan berlebihan tak pernah salah. Lagipun—kita nak buru ahli sihir.”
—Ahli sihir.
Mereka dikatakan menguasai seni yang tidak dikenali yang dipanggil sihir, yang mana kekuatannya dikatakan mampu menggerakkan cuaca sekalipun. Banyak khabar angin yang menceritakan bahayanya: konon ada negara yang lenyap dalam semalaman setelah menimbulkan kemurkaan mereka, ada pula kampung yang dihanyutkan banjir hanya kerana suka-suka—dan macam-macam lagi.
Di benua ini, makhluk yang dipanggil makhluk magis sudah lama pupus dan pada masa kini manusia dari negara lainlah yang jadi ancaman terbesar. Namun, ahli sihir merupakan satu-satunya lambang ketakutan yang tak terjangka yang masih wujud.
“Semata-mata hanya nak dapatkan kelebihan dalam perebutan pusaka, perlu ke sampai sanggup nak buat sejauh ni?”
“Tak kira lah, kita yang sengaja menyertai ni bukannya layak nak cakap macam tu pun.”
“Betullah tu.”
Puncanya bermula dengan isu pewarisan yang dihadapi oleh tuan wilayah di tanah ini. Tuan wilayah ada dua orang anak lelaki; anak kembar dengan kebolehan lebih kurang sama, dan nampaknya kedua-duanya langsung tak berniat nak mengalah.
Dengar khabar mereka bergaduh habis-habisan mengenai siapa yang akan mewarisi ayah mereka. Perlumbaan untuk mengutip markah picisan oleh si kembar makin menjadi-jadi, dan akhirnya si abang pula sampai berani menyentuh makhluk legenda itu.
Untuk memastikan segala-galanya berjalan sempurna, dia putuskan bahawa askar peribadi sahaja tidak mencukupi, lalu wang ditabur untuk mengumpulkan orang-orang yang bersedia untuk bertempur—hasilnya, pasukan sebesar ini.
“Kalau ada bayaran, apa pun kami buat… tapi kalau nak lawan ahli sihir, inilah kali pertama.”
Pemuda itu berpeluk tubuh sambil menggumam sendirian. Umurnya sekitar pertengahan 20-an, rambut kelabu dipotong pendek kemas. Bertubuh besar tetapi berotot sasa. Aura garang dan wajah penuh parut itu sangat menggambarkan pekerjaannya.
Pemuda it bernama Zig Crane. Dia adalah seorang askar upahan.
“Sihir, ya… patut ke aku merujuk pada cerita dongeng?”
Sambil membayangkan pertempuran dengan musuh yang tidak dikenali, dia memikirkan cara untuk menghadapinya.
Menurut cerita kosong yang didengarnya di bar, kononnya mereka boleh mengeluarkan bebola api daripada begitu sahaja tanpa sebarang alat, malahan boleh memanggil angin.
Bagi Zig, dia sukar nak percaya helah macam itu benar-benar boleh dibuat.
“Walau macam mana pun, kewujudan ahli sihir itu memang fakta. Sama ada sihir tu betul-betul wujud atau tidak, elok kita anggap dia mampu buat helah setaraf dengan khabar angin.”
Dia berasa skeptikal tentang sihir, tetapi ancaman ahli sihir itu sendiri diterimanya sebagai sesuatu yang nyata. Untuk ditolak sebagai dongeng semata-mata, terlalu banyak kes mangsa yang berlaku. Selain itu, kuasa-kuasa besar sedang bersungguh-sungguh memburu dan membanteras ahli sihir.
Ahli sihir yang mereka hendak buru selepas ini pun khabarnya sudah berkali-kali dihantar pasukan pemburuan, namun semuanya berakhir dengan kegagalan.
Memang jauh melampaui jangkauan untuk diurus seorang diri.
Dia beranggapan bahawa “ahli sihir” itu merujuk kepada suatu kumpulan, bukannya nama individu.
“Mungkin kumpulan yang ada kaitan dengan sebuah negara, ataupun organisasi jenayah…?”
Dia berpendapat begitu lebih kurang.
Ganjarannya tiada cacat cela, dan tawaran itu pula datang daripada sumber yang kukuh.
Sudah tentu ada risiko setimpal dengan bayaran, tetapi dalam kerja ini, bahaya memang perkara biasa.
Tak ada beza pun daripada tugas-tugas yang lain.
Dia tidak akan leka, tetapi dia juga tidak gentar.
Dengan tetapan minda sebegitu, dia menunggu saat untuk bertolak.
Tanpa menyedari bahawa salah sangka itu bakal banyak menentukan masa depannya.
0 Comments