Search Jump: Comments
You have no alerts.
    Header Background Image
    Bacaan ringan dalam Bahasa Melayu

    Beberapa puluh minit Suzuka mengayuh basikal dari rumah, akhirnya dia tiba di destinasi hari ini, Dungeon Hachioji.

    Jumlah dungeon ketika ia mula muncul pada tahun 1950 hanyalah 10 buah di seluruh dunia. Di Jepun pula, dungeon yang muncul cuma satu sahaja, iaitu di Halaman Luar Istana Di-raja.

    Selepas itu, dungeon terus muncul tanpa jadual yang tetap, dan kini sudah ada 166 buah yang disahkan di seluruh dunia. Kata orang, dungeon cenderung muncul di kawasan berpenduduk padat, dan semakin rancak penerokaan dungeon dijalankan, semakin mudah ia muncul di sekitar kawasan tersebut.

    Sebagai negara yang dianggap maju dari segi dungeon, Jepun memiliki 20 buah dungeon. Dalam 10 negara yang mempunyai dungeon, Jepun berada di tempat ketiga dari segi jumlah, selepas China dan Amerika. Bila dibandingkan populasi dengan keluasan negara, jelas jumlah dungeon di Jepun ini memang luar biasa banyak.

    “Disebabkan itu ia ada dekat Hachiōji, jadi senang nak pergi—memang membantu.”

    Rumah Suzuka terletak di Hachiōji, di pinggir Tokyo. Stesen terdekat sebenarnya lain, tapi stesen Hachiōji masih dalam jarak yang boleh dicapai dengan basikal, dan akses ke dungeon yang terletak betul-betul di sisi stesen itu pun memang mudah. Untuk budak tingkatan tiga, dapat jimat tambang tren saja pun sudah cukup buat urusan ulang-alik jadi jauh lebih senang.

    “Tapi serius, stesen Hachiōji 15 tahun lepas bukan macam ni pun—tak semeriah ni.”

    Lokasi dungeon berada di bahagian selatan stesen Hachiōji. Hachiōji ini jenis stesen yang bahagian utara lebih membangun, manakala bahagian selatan pula—sebaik saja menjauh sedikit dari stesen—terus bertukar jadi kawasan perumahan. Dalam ingatan Suzuka, bahagian selatan pada waktu itu masih belum berkembang; yang ada cuma bulatan jalan yang ringkas.

    Namun Hachiōji dalam world line ini benar-benar berbeza. Di situ ada dek pejalan kaki yang tampak gah, dan di sekelilingnya berdiri kondominium menara yang kelihatan mewah serta bangunan-bangunan yang naik rapat-rapat, seolah-olah berebut ruang. Tahap pembangunannya membuat Suzuka teringat bandar besar luar dari Tokyo seperti Sapporo, Sendai, atau Fukuoka.

    “Ini Tachikawa ke, atau sini? Ini yang orang panggil Dasar Pembangunan Dungeon tu kan? Jangan-jangan harga tanah rumah aku pun dah naik jadi mahal gila?”

    Bagi Jepun yang berkembang kerana dungeon, dungeon memang nadi ekonomi. Dan dungeon pula memang muncul di tempat yang ramai orang. Jadi bila kawasan sekitarnya turut membangun, itu seolah-olah hukum alam. Bukan orang yang terlibat dengan dungeon saja yang gunakan kawasan ini; sejak awal lagi memang ada orang yang guna stesen untuk pelbagai urusan lain.

    Maksudnya, kepada pengguna sedia ada pun, “nilai tambah” *plus α* seakan-akan memang sudah menunggu. Sebab itu, proses pembandaran pun makin laju. Suzuka sempat terfikir dia mungkin akan tersesat kerana suasananya terlalu berbeza daripada ingatan.

    Namun mungkin kerana ingatan Suzuka dalam world line ini turut ada dalam dirinya, langkahnya terasa “tahu jalan”; dia sampai ke parkir basikal tanpa masalah, dan terus dapat menuju ke Persatuan Peneroka cawangan Hachiōji yang menempatkan dungeon.

    Sebaik melangkah masuk, bangunan itu memberi rasa seperti pejabat kerajaan—kemas, moden, dan tersusun. Di bahagian hadapan ada kaunter untuk urusan seperti pendaftaran peneroka dan pertanyaan pelbagai, manakala di bahagian dalam pula kelihatan sebuah pintu yang kawalannya ketat—pintu yang bersambung terus ke dungeon. Bangunan ini bukan sekadar kaunter dan pintu, malahan ia juga ada lokar simpan barang, bilik persalinan, bilik mandi, bilik rujukan, fasiliti rawatan kecemasan, malah pejabat staf Persatuan Peneroka juga berada di sini. Memang patutlah saiznya besar.

    Suzuka yang semalam sudah buat ulang kaji awal-awal terus menuju ke terminal yang berbaris di dinding. Terminal itu tersusun mendatar sekitar 10 unit, dan rupa nya mengingatkan orang kepada ATM. Bezanya dengan ATM, jarak antara terminal lebih luas, dan penghadang di sisi-sisi terminal pun tinggi dan besar.

    Terminal- terminal itu meriah dengan para pengembara. Waktu sekarang belum lagi pukul 9. Inilah masa yang biasanya sesak, waktu ramai orang mula bersiap untuk meneroka. Suzuka memilih barisan yang nampak lebih lapang. Walaupun ada mata yang memandang pelik bila nampak budak lelaki tingkatan tiga beratur seorang diri, tak ada sesiapa pun yang menegur.

    Tak lama kemudian, sampai giliran Suzuka, lalu dia mula mengendalikan terminal itu. Terminal ini digunakan untuk mendaftarkan jadual penerokaan. Bila dia imbas Lesen Peneroka dan mengesahkan maklumat peribadi yang terpapar itu betul, peta ringkas dungeon pun muncul pada skrin. Di kiri atas ada butang untuk memilih aras, dan peta itu dibahagikan kepada lima kawasan mengikut warna. Untuk penerokaan kali ini, Suzuka perlu memilih aras dan kawasan yang akan dijadikan kawasan buruan utama.

    Pada masa yang sama, tahap kesesakan setiap kawasan turut dipaparkan, dan kalau jumlahnya melebihi kuota yang ditetapkan, kawasan itu tak boleh dipilih. Dengan cara ini, perebutan kawasan buruan boleh dicegah lebih awal, dan para peneroka boleh fokus memburu tanpa rasa serabut. Sebab itulah kebiasaannya para peneroka sanggup berkumpul awal pagi dan terus masuk. Lebih kurang macam orang cop tempat, tapi masa.

    Kawasan yang Suzuka teroka sudah tentu kawasan pemula. Aras 1, Zon 1.

    Lepas menentukan kawasan penerokaan, seterusnya dia perlu mendaftarkan pukul berapa dia dijangka akan kembali. Bergantung pada kawasan yang diteroka, bila melepasi masa yang ditetapkan, notifikasi akan dihantar ke nombor atau kontak yang didaftarkan. Kalau seseorang berada dalam guild, notifikasi akan pergi ke pejabat. Namun, untuk kes Suzuka pula, notifikasi itu akan pergi kepada ibu bapa. Orang yang menerima notifikasi itu akan memohon permintaan mencari kepada persatuan, atau menggerakkan ahli lain dalam guild untuk menjalankan pencarian.

    Persatuan Peneroka hampir tak pernah memulakan operasi mencari atas inisiatif sendiri. Kerana peneroka ialah orang yang menyara hidup dengan tenaga sendiri, dan mereka masuk meneroka dungeon atas kehendak sendiri. Apa yang berlaku dalam dungeon dianggap dalam ruang “tanggungan sendiri”, dan kalau persatuan campur tangan, itu akan bercanggah dengan prinsip mereka.

    Seperti orang Jepun lazimnya mengelak daripada merosakkan patung Jizō atau mengusik tokong Buddha, dalam world line ini, tindakan menghalang orang yang memang berniat nak masuk dungeon dianggap sebagai perkara tabu. Mungkin juga kerana wujud rasa hormat yang halus terhadap para peneroka yang membantu Jepun pulih selepas perang, orang Jepun memang tak biasa dan tak sanggup untukmenghalang peneroka. Walaupun begitu, Suzuka tetap yakin ibu bapanya takkan senang hati kalau tahu dia nak pergi tempat yang mempertaruhkan nyawa.

    Sebab itu dia datang sini diam-diam, tanpa bagitahu mereka. Dia mesti elak situasi di mana masa yang dia tetapkan terlepas sehingga notifikasi dihantar kepada ibu bapa.

    “Hmm… buat sementara ni set pukul 22:00 dulu. Rasanya takkan lepas 22:00 pun.”

    Oleh sebab dia merancang bertempur dekat kawasan pintu masuk dungeon, kalau dia terlalu fokus sekalipun, sepatutnya dia masih boleh berpatah balik dengan cepat.

    Selepas itu, paparan peringatan dan perkara yang perlu diberi perhatian semasa penerokaan ditunjukkan, dan bila Suzuka menekan setuju, semua urusan pun selesai.

    0 Comments

    Heads up! Your comment will be invisible to other guests and subscribers (except for replies), including you after a grace period.

    Note